
Salam....
8 Mac menyaksikan tersungkurnya dacing di 4 kubu kuat nya
dan gagal merampas kelantan dari PAS
Dacing berada di mana-mana. Dacing
mendominasi ruang dan tempat. Tengok
kiri dacing, tengok kanan dacing.
Tengok depan dacing. Dacing
berimbang atas kayu ini sudah
ketinggalan zaman - orang sekarang
pakai dacing elektronik atau dacing
ada muka. Tetapi kenapa dacing
'kuno' ini membiak subur akhir-akhir
ini?
Subuh-subuh buta, keluar saja dari
rumah untuk ke masjid, sudah nampak
dacing. Malah dalam rumah pun,
ceritanya tidak lain daripada
dacing, dacing dan dacing. Radio
cakap pasal kebaikan dacing. TV pun
cakap pasal dacing. Malah apabila
membuka saja komputer, lambang
dacing tertera di skrinnya.
Bermotosikal untuk ke tempat kerja,
sepanjang laluan nampak ribuan
dacing. Di tepi sekolah, di tembok
masjid ada dacing. Batang pokok pun
tak selamat daripada ditampal
dacing.
Sebut saja dacing, tidak salah untuk
kuncu-kuncu pejuang dacing ini
pasang lambang di bangunan awam,
malah billboard (iklan besar di tepi
jalan raya) juga terpampang gambar
pemimpin dacing.
Beli akhbar dan baca berita, hampir
semuanya pasal dacing. Ada iklan
dacing. Pendeknya, di mana-mana saja
ada dacing. Cerita akhbar, TV dan
sebagainya berkisar kepada dua
perkara saja. Satu dacing baik.
Kedua, yang selain dacing, semuanya
jahat-jahat belaka.
Kerana terlalu banyak dacing dan
dikelilingi dacing, penulis cuba
memahaminya dari sudut sosio-budaya
orang Melayu. Dalam hidup
bermasyarakat, atau norma manusia
bertamadun, seseorang itu tidak
boleh menilai dirinya sendiri. Dalam
masyarakat Melayu, kerana ketelitian
bangsa ini, ada satu peribahasa
menyebut 'masuk bakul angkat
sendiri'.
Sekarang BN masuk dacing, selepas
itu angkat sendiri. Sebab itu
apabila harga barangan keperluan
atau harga minyak naik, orang yang
masuk bakul ini (dacing) akan
berkata 'kenaikan ini tidak
membebankan'.
Mana ada beban, dia sendiri sudah
masuk dalam bakul. Yang menanggung
beban adalah orang di luar bakul
(luar dacing). Orang dalam dacing,
semuanya kata tidak membebankan.
Betullah tu, sebab dia berfikir
dalam timbangan dacing. Macam ikan
busuk atau ayam pencen sudah masuk
dacing, takkan boleh menjerit, aku
beratlah!
Memang hebat fikiran orang Melayu
dulu. Mereka mencipta simpulan
bahasa, peribahasa yang
cantik-cantik itu sebagai iktibar
untuk orang kemudian. Orang Melayu
dacing tidak faham kecantikan dan
keindahan bahasa Melayu. Sebab itu
mereka menginggeriskan Sains dan
Matematik.
Berbalik kita kepada peribahasa
'masuk bakul angkat sendiri'. Adalah
norma dalam masyarakat, seseorang
yang jahat tidak akan berkata dia
jahat. Seorang pencuri tidak akan
berkata dia pencuri.
Seorang penyamun tidak akan mengaku
dirinya penyamun. Sebaliknya apabila
berlaku sesuatu kecurian dalam
sesebuah kampung, si pencuri yang
terperangkap akan menjerit, mengejar
orang lain dengan mengatakan orang
lain sebagai pencuri.
Apa yang berlaku sepanjang zaman,
seorang penyamun akan pura-pura buat
baik bagi menutup 'kepenyamumannya'.
Orang puasa dia puasa. Orang raya
dia pun raya. Orang bayar zakat
fitrah, dia pun bayar zakat fitrah.
Orang naik haji, dia pun naik haji.
Itulah penyamun tarbus namanya.
Banyak filem sudah dibuat mengenai
hal ini. Jadi apa nak dihairankan
jika penyamun tarbus dacing mengaku
dia terbaik di dunia ini.
Dalam masyarakat Melayu, adalah
pelik seseorang itu mengaku dia
baik. Orang Melayu ini pemalu. Orang
Melayu yang baik tidak mendabik dada
dia baik. Sebab baik itu adalah
penilaian orang.
Apabila seseorang itu mengaku dia
baik atau mengiklankan bahawa dia
baik, tentulah ada yang tidak kena
dengan dirinya. Apabila orang
mendakwa dia baik, hampir pasti dia
tidak baik atau ada 'wayarnya putus'
(short-cicuit).
Orang Melayu halus dalam budi
bicaranya. Ada yang gemar bercakap
'cara kebalikan' (reverse). Apabila
seseorang anak terjatuh kerana
memanjat pokok, bapanya akan
berkata, "panjat, panjat, panjat
lagi", tetapi hakikatnya si bapa
tadi tidak mahu si anak memanjat
pokok lagi. Demikian betapa hebatnya
orang Melayu berbahasa!
Tetapi apa yang dacing sudah buat?
Dacing mengiklankan dia hebat! Kalau
digunakan pendekatan 'reverse' tadi,
hakikatnya dacing itu tidaklah
hebat. Kalau dacing kata PENDIDIKAN
PERCUMA, ia bermaksud PENDIDIKAN
TIDAK PERCUMA.
Tanyalah mana-mana ibu bapa yang ada
anak di sekolah. Mana ada pendidikan
'free'. Bagi seorang anak, kos ke
sekolah rendah pada penggal baru
lalu adalah antara RM100-RM300. Anak
sekolah menengah pula (asrama)
kosnya antara RM500-RM1,000. Betul
buku teks adalah 'free', tetapi
janganlah berbohong menyatakan
pendidikan 'free'.
Dacing memang suka cakap 'reverse'.
Katanya jangan berpolitik di
bangunan sekolah, masjid dan tempat
awam lain. Tetapi dia buat. Katanya,
jangan hasut rakyat, dia yang
mempropaganda rakyat. Mana tidaknya,
buka saja radio atau TV, akan
terdengarlah dakyah
murahan..."Kerajaan dacing telah
buat itu, telah buat ini...kejayaan
sana, kejayaan sini...cemerlang,
gemilang, terbilang..."
Kalau dacing telah buat semuanya,
orang lain selama ini buat apa?
Selepas itu dibilang pula,
"pembangkang huru-hara...rakyat
tidak selamat...bla,bla."
Demikiannya kerja dacing siang dan
malam. Petugas penyiaran, wartawan
yang mengaku beriman, tidak takut
dosakah berbohong menyatakan dacing
baik-baik saja?
Akhir sekali dengarlah nasihat
terakhir yang terbaik mengenai hal
ehwal dacing ini. Dacing dunia ini
lazimlah sifatnya tidak dapat
diadili. Kuasa, pangkat dan duit
boleh membeli dunia ini. Bolehlah
masuk bakul (dacing), angkat
sendiri. Tetapi semua mahu ingat ada
satu lagi dacing yang timbangannya
MAHA TEPAT. Itulah dacing akhirat.
Ketika diadili dacing ini, TIDAK
BOLEH LAGI MASUK BAKUL (DACING)
ANGKAT SENDIRI!
Ingatlah masa manusia itu hanya ada
tiga - SEMALAM, HARI INI dan ESOK.
Semalam adalah sejarah. Hari ini
buatlah kebaikan sebanyak mungkin.
Esok (termasuk tanggal 8 Mac) belum
tentu. Entah-entah esok sudah berada
di alam barzakh. Jadi usahlah
difikirkan sangat dacing di dunia
ini, fikirkanlah dacing di sana.
Itulah jalan selamat di dunia dan
akhirat...........
No comments:
Post a Comment